Team MAS jenama kebangsaan untuk sokong atlet Malaysia di semua temasya

163

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah melancarkan kempen Team MAS yang merupakan jenama kebangsaan yang diketengahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mewujudkan gerakan nasional bagi menyokong atlet negara di semua temasya sukan termasuk Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada bulan Julai.

Objektif kempen ini diharap dapat menjadi tanad sokongan dan penyuntik semangat kepada atlet yang telah layak, agar mereka lebih berkeyakinan untuk berjuang di Paris dan membawa pulang pingat emas pertama untuk negara.


Bertemakan “KITA SEMUA TEAM MAS”, Kerajaan Madani melalui KBS akan mengutamakan penyatuan semua rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara sebagai sebuah pasukan yang sentiasa menyokong atlet yang akan berjuang di pentas tertinggi sukan dunia.

Ketika ini seramai 18 atlet telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024, sementara untuk Sukan Paralimpik yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September 2024 pula seramai 15 atlet negara telah berjaya layak.

Terdahulu, KBS telah mewujudkan Program Road To Gold (RTG) yang merupakan ‘top-up program’ Podium sedia ada telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada atlet yang layak, termasuklah kemudahan fasiliti, perkhidmatan sains sukan, perubatan, program bina diri, pendedahan kepada latihan dan kejohanan dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), fungsi dan tanggungjawab sebagai peneraju dalam sains, perubatan dan teknologi sukan, Institut Sukan Negara (ISN) sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellence – COE) telah membangunkan produk melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Antara produk-produk tersebut adalah basikal trek WX-R Vorteq dan ‘custom made grip’ untuk peralatan sukan memanah.

Oleh itu, KBS menyeru seluruh rakyat Malaysia dan pemegang taruh untuk sama-sama menjayakan kempen ini sebagai tanda sokongan dan penyuntik semangat kepada semua atlet yang bertanding di Olimpik nanti.

Hannah Yeoh dalam ucapannya mendoakan supaya kontinjen negara selamat dan mengelakkan sebarang bentuk kecederaan sebelum bertanding di Olimpik nanti dan beliau juga menyatakan bahawa KBS akan terus memberikan sokongan penuh melalui program RTG dan Podium untuk menyokong atlet-atlet negara mencapai impian mereka dan juga hasrat negara serta rakyat.

Tambahnya lagi, beliau yakin atlet negara akan memberikan yang terbaik semasa Sukan Olimpik Paris 2024 dan semua lapisan rakyat sentiasa menyokong atlet negara selari dengan tema TEAM MAS – Kita semua TEAM MAS.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria, menyifatkan kira detik 50 hari menjelang temasya Sukan Olimpik Paris XXXIII 2024 sebagai isyarat siap siaga bagi atlet negara yang mengesahkan kelayakan.

“MOM mengharapkan agar 18 atlet yang sudah layak kekal fokus pada persiapan terakhir menjelang acara masing-masing. MOM juga mendoakan agar anggota kontinjen Malaysia akan bertambah dan lebih ramai atlet dapat melayakkan diri pada awal Julai apabila siri kelayakan beberapa sukan selesai manakala slot universality dan kuota penyertaan disahkan oleh persekutuan sukan antarabangsa masing-masing.”

Pada masa sama, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), YBhg. Dato’ Sri Megat D.Shahriman Zaharudin berkata kempen Team MAS merupakan inisiatif yang memberikan semangat jati diri dan inklusif untuk menceriakan atlet para yang telah menghadapi cabaran walaupun kurang upaya dan bangkit memainkan peranan mereka untuk mengharumkan nama negara. Inisiatif seperti ini sudah lama tertangguh dan kini ia menyatukan negara bermula dari pemimpin, komuniti sukan para dan yang paling penting rakyat negara ini.

“MPM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan khususnya kepada KBS atas inisiatif ini. Kami akan memainkan peranan kami untuk membawa ‘Pergerakan Paralimpik’ di negara ini ke tahap yang lebih tinggi.”

Manakala, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub berharap pelancaran kempen Team MAS ini akan mewujudkan kesedaran kepada rakyat mengenai atlet-atlet yang bertanding di temasya Sukan Olimpik sekaligus tampil memberikan sokongan yang padu kepada wira negara untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada atlet untuk memberikan yang terbaik.

“Kami menyeru lebih banyak pihak untuk menyertai kami dan meraikan penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik dan berharap Team MAS diterima pakai oleh bukan sahaja atlet tetapi semua rakyat Malaysia sebagai tanda sokongan mereka terhadap sukan di Malaysia.”