Kami mampu jaringkan lebih 8 gol di tempat sendiri – Kim Pan-gon

93

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon menyuarakan keyakinan bahawa pasukannya mampu memperoleh kemenangan dalam perlawanan keenam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 11 Jun ini.

Menurut Pan-gon, skaud Harimau Malaya mempunyai kelebihan apabila beraksi di halaman sendiri dan mereka mampu menjaringkan lebih lapan gol di SNBJ.


“Ya kami sedar bahawa pasukan Kyrgyzstan mempunyai kelebihan besar dari segi perbezaan jaringan gol tapi kami mampu jaringkan lebih lapan gol di tempat sendiri kerana kami punya kemampuan untuk berbuat demikian.

Pasukan anda (Kyrgyzstan) juga bolos empat gol di SNBJ jadi saya yakin kami mampu buat sesuatu. Jika Kyrgyzstan tewas kepada Oman dengan keputusan 2-0, manakala kami mampu untuk menjaringkan lebih dari tujuh gol, maka kami yang akan layak,”

katanya.

Pan-gon berkata demikian kerana pada November tahun lalu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 skuad Harimau Malaya berjaya membelasah pasukan ranking lebih tinggi Papua New Guinea dengan jaringan 10-0.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan menentang Kyrgysztan yang berkesudahan dengan seri 1-1, pengendali daripada Korea Selatan itu berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

Beliau bagaimanapun kurang berpuas hati dengan jaringan pasukan lawan yang didakwa bola terkena tangan pemain.

“Kami bermain dengan sangat baik tapi sukar untuk menerima gol pertama (Kyrgysztan) yang mana saya fikir ia sepatutnya tidak dikira kerana bola terkena tangan.

Biarpun ia situasi sukar, tapi kami cepat bangkit untuk menyamakan kedudukan, itu yang bagus. Pada separuh masa kedua kita cuba menekan lawan dengan baik tapi gagal dapatkan gol kedua.

Apa-apa pun saya sangat hargai usaha pemain yang berjuang malam ini. Tidak dilupakan juga kepada para peminat Malaysia yang datang ke sini untuk beri sokongan.”