Intan Serah harap aksi final menentang UiTM Lioness tak diheret ke penentuan penalti
Pemain pasukan bola sepak wanita MBSJ FC, Intan Serah berharap perlawanan akhir FAS Women’s Super League (WSL) menentang UiTM United Lioness nanti tidak akan berlanjutan sehingga ke penentuan penalti.
Ini kerana menurut Intan penentuan penalti ini lebih kepada pasukan mana yang bernasib baik, oleh itu beliau pemenang ditentukan dalam tempoh permainan sebenar.
“Berdasarkan perlawanan lalu saya harap kekurangan kita adalah penyudah ketika perlawanan separuh akhir (Piala FA), jadi kami akan cuba perbaiki dari segi penyudah kerana kita tak mahu perlawanan berlanjutan sehingga ke penentuan penalti.
Ini kerana bagi saya penalti ni lebih kepada nasib baik, jadi saya secara peribadi nak menang dalam tempoh perlawanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu, MBSJ yang merupakan pasukan pilihan dikejutkan oleh UiTM pada aksi separuh akhir Piala FA.
Dalam pada itu, biarpun merupakan penjaring terbanyak dalam saingan WSL musim ini dan juga merupakan aset penting untuk pasukan kebangsaan Malayan Tigress namun Intan mengakui sukar untuknya menjadi pemain bola sepak profesional sepenuh masa dek masih perlu mencari kerja lain untuk menampung kehidupannya.
“Saya rasa dekat Malaysia tak boleh nak jadikan bola sepak sebagai karier sepenuh masa sebab kita kena tunggu kontrak profesional, jadi itulah batasan yang saya hadapi di sini.
Nak tak nak saya kena cari kerja lain untuk menyara diri saya sendiri, jadi saya menjadikan bola sepak ini sebagai semi-profesional sahaja.”
Tambahnya lagi keputusan itu dibuat kerana beliau mampu menjana pendapatan lebih banyak di luar bola sepak.
Sementara itu, pada awal tahun lalu Intan telah mencetuskan kontroversi susulan komennya di media sosial yang telah menyebabkan beliau menerima kecaman hebat daripada ramai.
Beliau yang sedar dengan kesilapan yang dilakukan telah tampil membuat permohonan maaf.
“Semua orang buat silap dan saya tak sempurna. Saya sentiasa belajar untuk perbaiki diri!”