Nafuzi Zain dalam dilema jika dipilih untuk jadi pembantu Kim Pan-gon

342

Ketika ini peminat bola sepak tanah air masih hangat memperkatakan siapakah yang bakal dilantik sebagai jurulatih tempatan yang akan dilantik bagi membantu Kim Pan-gon untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah memberitahu sudah mempunyai beberapa nama jurulatih yang akan menggalas jawatan tersebut tetapi masih belum mendedahkan nama jurulatih tersebut.


Antara nama yang menjadi sebutan ramai adalah Zainal Abidin Hassan, Nafuzi Zain, Nidzam Jamil dan beberapa lagi.

Berdasarkan nama calon yang disebut, nama ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain merupakan antara favourite peminat kerana menyifatkan beliau merupakan calon paling sesuai.

Sumber foto: TFC Facebook

Beliau merupakan seorang jurulatih muda yang sangat memahami dunia bola sepak tempatan selain mahir dalam taktikal bola sepak moden. Nafuzi telah berjaya menjadikan Terengganu sebagai gergasi Pantai Timur.

Walaupun namanya disebut-sebut tetapi Nafuzi telah memberitahu bahawa beliau belum menerima sebarang tawaran secara rasmi daripada FAM dan tidak pernah memikirkan soal tawaran berkenaan kerana fokus pada persiapan skuadnya untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

Sekiranya FAM benar-benar mahukan Nafuzi sebagai penolong jurulatih Kim Pan-gon, sudah semestinya akan membuatkan pengendali skuad  berada dalam dilema untuk membuat keputusan berikutan beliau masih mempunyai kontrak dengan pasukannya.

Jika pihak pengurusan Terengganu rela melepaskan Nafuzi untuk menabur bakti untuk skuad negara ia pasti akan menjejaskan persiapan skuad Penyu untuk musim ini dan pelbagai masalah berkemungkinan akan timbul.

Sumber foto: TFC Facebook

Perkara sama telah berlaku pada bekas ketua jurulatih kebangsaan iaitu Tan Cheng Hoe sebelum ini yang mana ketika itu beliau merupakan pengendali Kedah Darul Aman FC.

Cheng Hoe dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih Nelo Vingada ketika pasukan Kedah sedang berada di puncak Liga Super.

Selepas ketiadaan Cheng Hoe, prestasi pasukan Hijau Kuning menjadi terumbang ambing sehingga menyebabkan mereka mengakhiri liga di kedudukan keempat.

Perkara sama berkemungkinan akan berlaku kepada Terengganu sekiranya FAM benar-benar mahukan Nafuzi.

Ia satu keputusan yang cukup sukar buat FAM dan juga Nafuzi kerana kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab yang cukup besar.

FAM perlu pastikan jurulatih tempatan yang dilantik adalah yang terbaik untuk bantu Kim Pan-gon dan bukannya jurulatih ‘tangkap muat’.

Manakala Nafuzi pula terpaksa membuat keputusan yang cukup berat iaitu samada mahu terus mengendalikan pasukan Terengganu atau berbakti kepada skuad negara tercinta.

Diharap FAM dapat membuat penilaian dan pemilihan dengan teliti bagi memastikan hanya yang terbaik akan dilantik supaya satu keputusan positif dapat dicapai kelak.