Kami memang berhak menang sebab semua pemain berikan yang terbaik – Steffi Sidhu

98

Ketua pasukan bola sepak wanita MBSJ FC, Steffi Sidhu gembira dan berkata pasukannya berhak menang ke atas pasukan UiTM United Lioness kerana setiap pemain memberikan persembahan yang terbaik mereka.

Pada perlawanan akhir FAS Women’s Super League (WSL) yang berlangsung baru-baru ini, MBSJ berjaya menewaskan pasukan ‘underdog’ UiTM dengan jaringan 3-0 sekaligus berjaya menjulang kejuaraan.


“Saya sangat bangga dengan persembahan pasukan saya kerana semua berikan yang terbaik dan saya rasa kami berhak menang sebab setiap pemain memperlihatkan komitmen dan disiplin yang cukup tinggi sepanjang perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Steffi bagaimanapun berkata ia bukan kemenangan yang mudah kerana mereka sedikit pergelutan di awal-awal perlawanan dek kecederaan termasuk berlakunya insiden kekerasan.

“Bagi saya kekerasan dalam bola sepak itu adalah normal. 10 minit pertama memang kami bergelut sebab ada beberapa kecederaan dan kami juga belum ‘settle down’.

Bagaimanapun selepas itu kami berjaya kembali menguasai permainan dan berjaya jaringkan tiga gol di separuh masa pertama jadi saya rasa kesemua pemain ‘perform’ dengan cukup baik sekali.”

Dalam pada itu, Steffi yang juga merupakan ketua pasukan kebangsaan Malayan Tigress memberitahu mereka turun beraksi dalam perlawanan akhir dengan memberi tumpuan untuk patahkan semangat pasukan lawan dengan jaringan awal.

Ini kerana menurutnya, MBSJ sebelum ini pernah tewas kepada UiTM biarpun mendominasi perlawanan.

“Kami tahu pada perlawanan sebelum ini kami mendominasi tapi kami kalah tapi kali ini kami mendominasi dan kami jaringkan gol.

Jadi untuk patahkan semangat UiTM kami berbincang yang kami perlu jaringkan gol awal dan kami berjaya jaring tiga gol, jadi saya rasa dengan ketinggalan 3-0 itu mematahkan semangat mereka.”