Kami sentiasa peroleh keputusan baik menentang pasukan ranking lebih rendah di SNBJ – Kim Pan-gon

29

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon menyuarakan keyakinan terhadap pasukannya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok.

Menurut Pan-gon, skuad Harimau Malaya sentiasa memperolehi keputusan yang baik apabila bertemu dengan pasukan yang ranking lebih rendah termasuk memperolehi jaringan besar.


“Kami seri ketika menentang Republik Kyrgyz dan ini memberikan kami tekanan untuk perlawanan terakhir yang mana kita perlu jaringkan minimum tujuh gol untuk selamat.

Berdasarkan rekod, perlawanan di tempat sendiri menentang pasukan ranking yang lebih rendah kita selalu dapat keputusan positif termasuk berjaya jaringkan gol besar biasanya lima gol dan kami juga pernah menang dengan Papua New Guinea yang ranking lebih tinggi yang mana kami berjaya jaringkan 10 gol.

Sudah tentu barisan pemain berbeza tapi untuk pasukan lawan ia akan menjadi sukar buat mereka bermain di SNBJ kerana kita mempunyai penyokong yang cukup besar termasuk Ultras Malaya. Dengan persekitaran seperti itu dan cuaca ia akan menjadi sukar buat mereka,”

katanya.

Pan-gon juga berharap penyokong dapat turun membanjiri SNBJ esok bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan.

Dalam pada itu, pengendali daripada Korea Selatan itu juga berkata berdasarkan sesi latihan semalam kesemua pemain-pemainnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk perlawanan esok.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan akan menerapkan taktikal yang sedikit berisiko.

“Kesemua pemain sudah bersiap sedia dari segi fizikal dan mental dan secara taktikal pula kami akan ‘approach’ dengan lebih berisiko tapi kami rasa ia berkesan.”

Sementara itu, beliau berkata skuad negara masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dan ini membuatkan pasukannya lebih bersemangat berbanding pasukan lawan yang sudah pun tersingkir selepas lima kekalahan berturut-turut.

Pada aksi menentang Chinese Taipei esok, skuad negara perlu menang dengan jaringan besar sekurang-kurangnya 7-0 dengan harapan Republik Kyrgyz tewas kepada Oman untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.