Sergio Aguero berpuas hati dapat bantu Harimau Malaya peroleh kemenangan
Pemain pasukan kebangsaan, Sergio Aguero berpuas hati dengan persembahannya apabila berjaya membantu pasukan Malaysia menang 3-1 ke atas Chinese Taipei dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.
Menurut Aguero, biarpun masuk di separuh masa kedua namun beliau berjaya bantu pasukan untuk menjaringkan tiga gol.
“Ya saya berpuas hati apabila saya masuk di separuh masa kedua saya buat sesuatu untuk pasukan jadi saya berpuas hati,”
katanya.
Biarpun berjaya memperoleh tiga mata penting tapi skuad Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan gagal layak ke Piala Asia 2027 secara automatik selepas Republik Kyrgyz berjaya mengikat Oman dengan keputusan 1-1.
Dalam pada itu, Aguero yang dipanggil pada saat-saat akhir sebelum aksi menentang Chinese Taipei berkata beliau akan sentiasa bersedia untuk menyarung jersi negara sekiranya diperlukan pada bila-bila masa.
“Sudah tentu saya sentiasa mahu di sini (bersama Harimau Malaya). Bila-bila masa Coach perlukan, saya gembira untuk bermain.
Tidak kira dua hari sebelum atau 10 hari sebelum, jika dipanggil saya akan datang.”
Beliau pada masa sama berkata bukan mudah untuk mereka menjaringkan tujuh atau lapan gol dalam satu-satu perlawanan tapi gembira apabila berjaya menang.
Sementara itu, biarpun tidak berjaya layak ke Piala Asia 2027 secara automatik namun skuad kendalian Kim Pan-gon masih berpeluang untuk ke Arab Saudi menerusi kelayakan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac 2025.