Bila dengar berita Malaysia nak menang besar, ia sangat kelakar – Kouame Ange Samuel
Pemain kebangsaan Chinese Taipei, Kouame Ange Samuel mengakui berasa kelakar dengan kenyataan oleh pasukan Malaysia yang menyuarakan keyakinan mereka mampu menang besar pada perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 semalam.
“Secara peribadi ia kelakar kerana kami pernah bermain dengan mereka di Chinese Taipei sebelum ini dan perlawanan itu seimbang 50/50 yang mana ketika itu mereka dibarisi pemain terbaik mereka tapi berjaya menang 1-0 sahaja.
Apabila kami datang ke sini dengar berita yang Malaysia nak menang besar, ia seperti satu lawak jenaka dan saya tak ambil pusing dan hanya fokus pada perlawanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam, ketika skuad Harimau Malaya melakukan serangan bertali arus, mereka dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat pada minit ke 20′.
Skuad kendalian Kim Pan-gon buat kebangkitan pada separuh masa kedua tapi hanya berjaya menjaringkan tiga gol.
Biarpun menang tetapi Malaysia gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan gagal layak secara automatik ke Piala Asia 2027 selepas Republik Kyrgyz berjaya mengikat Oman dengan keputusan 1-1.
Dalam pada itu, pemain kelahiran Ivory Coast itu merasakan satu penghormatan buat dirinya apabila Persatuan Bola Chinese Taipei (CTFA) dijemput untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan itu.
“Ia satu penghormatan buat saya apabila dapat jemputan daripada CTFA untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Saya gembira kerana saya sudah lama tinggal di sana dan sudah berkahwin serta mempunyai anak jadi cukup gembira apabila dapat jemputan untuk mewakili mereka.”
Ange Samuel merupakan antara pemain termahal dalam pasukan Chinese Taipei dan beliau juga merupakan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lalu.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan bakal berhijrah ke China tidak lama lagi selepas menandatangani kontrak bersama sebuah kelab di sana.