Pasukan lain yang dapat mata sama sudah lepas kelayakan – Paulo Josue
Pemain pasukan kebangsaan, Paulo Josue memberitahu beliau bangga dengan pencapaian pasukan Harimau Malaya selepas mereka berjaya mengumpul 10 mata dalam kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
“Kita patut bangga dengan kempen kali ini kerana kita berjaya kutip 10 mata dalam kumpulan kerana kebanyakan kumpulan lain 10 mata sudah cukup untuk mereka layak ke peringkat seterusnya.
Jadi kita perlu berasa bangga dan terus bekerja keras untuk cabaran seterusnya,”
katanya.
Paulo berkata demikian selepas tamat perlawanan terakhir Kumpulan D yang menyaksikan skuad negara berjaya membenam Chinese Taipei 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.
Biarpun menang, namun skuad kendalian Kim Pan-gon gagal untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan gagal layak secara automatik ke Piala Asia 2027 selepas Republik Kyrgyz berjaya mengikat Oman dengan keputusan 1-1.
Dalam pada itu, Paulo yang merupakan penjaring gol kedua berkata pasukan sentiasa mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dengan bimbingan daripada barisan kejurulatihan.
Beliau pada masa sama turut bersetuju dengan keputusan berisiko yang dilakukan oleh Pan-gon untuk menurunkan barisan pemain muda yang disifatkan sesuatu yang cukup bagus dan pemain yang diturunkan berjaya pamer aksi cemerlang.
“Seperti yang jurulatih cakap beliau ambil risiko untuk turunkan pemain muda dalam perlawanan dan ia bagus untuk mereka untuk merasai perlawanan dan berdasarkan dua perlawanan terdahulu mereka bermain dengan baik.
Pemain dari bangku simpanan juga mempamerkan aksi cemerlang apabila diturunkan, jadi kita kena bangga dengan mereka tapi seperti yang saya katakan tadi, ruang untuk perbaiki sentiasa ada.”