KPG harap dapat lebih sokongan menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027
Impian untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2027 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 tidak kesampaian apabila pasukan Malaysia menamatkan kempen pusingan kedua kelayakan di kedudukan ketiga Kumpulan D selepas mengutip 10 mata.
Skuad Harimau Malaya bagaimanapun masih berpeluang untuk mencipta sejarah untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut kerana mereka selepas ini akan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac 2025.
Oleh itu, ketua jurulatih Kim Pan-gon berharap agar mereka akan mendapat lebih sokongan untuk mempersiapkan skuad yang mantap.
“Cabaran kita seterusnya adalah Piala AFF pada bulan November dan paling besar adalah Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac 2025.
Bagi saya ia satu ujian yang cukup besar dan jika Malaysia berjaya layak ke Piala Asia ia akan membuatkan seluruh negara bangga dan juga penyokong akan berasa bangga.
Oleh itu kita perlu membuat perancangan rapi dan sokongan. Usaha biasa tidak cukup sebaliknya kita perlu berusaha dengan lebih lagi termasuk dapat lebih sokongan dan jika kita dapat layak ke peringkat akhir Piala Asia nanti ia akan menjadi momen yang cukup indah,”
katanya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perjalanan kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, pengendali daripada Korea Selatan itu berkata ia sesuatu yang cukup menyakitkan sepanjang beliau mengendalikan skuad negara.
Ini kerana menurut Pan-gon, skuad negara bermula dengan cukup cemerlang apabila berjaya mengutip enam mata untuk mendahului Kumpulan D, namun semuanya berubah apabila dua kekalahan berturut-turut kepada Oman menyukarkan peluang mereka untuk layak ke pusingan ketiga.
“Semua bersedih kerana kita sebenarnya mempunyai peluang yang baik pada awal sebelum sesuatu berlaku di mana semua tahu mengenainya.
Saya tak perlu cakap mengenai perkara itu lagi (kalah kepada Oman). Diakui strategi yang digunakan tidak menjadi ketika bertemu dengan Oman. Kita perlu lupakan dan berusaha memperbaiki kualiti permainan.”