Saya tak minta tinggalkan pasukan tapi jika mereka paksa saya pergi, saya akan pergi – KPG

36

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan bahawa beliau tidak pernah terfikir mahu meninggalkan pasukan kerana mahu terus kekal sehingga Piala Asia 2027.

Menurut Pan-gon, biarpun beliau mahu kekal tetapi keputusan untuk mengekalkannya terletak kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan beliau akan terima apa sahaja keputusan daripada majikannya itu.


“Saya tidak pernah minta untuk tinggalkan pasukan tapi jika mereka paksa saya untuk tinggalkan pasukan, saya akan tinggalkan pasukan.

Saya sudah meletakkan usaha di sini, masa demi masa tetapi tetap berjuang sehabis baik dan saya jarang bercakap banyak.

Tapi ia bukan keputusan saya tapi FAM dan kelab. Saya tidak pernah minta untuk tinggalkan pasukan kerana saya mahu terus bersama pasukan sehingga Piala Asia akan datang,”

katanya.

Pengendali daripada Korea Selatan itu berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di mana skuad negara berjaya benam Chinese Taipei 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Biarpun menang tetapi skuad negara terpaksa akur apabila tidak berjaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 selepas Republik Kyrgyz berjaya mengikat Oman 1-1 sekaligus mengesahkan tempat mereka ke pusingan seterusnya.

Dalam pada itu, biarpun tidak berjaya mengesahkan tempat ke Piala Asia yang akan berlangsung di Arab Saudi pada 2027, namun skuad negara masih lagi mempunyai peluang untuk mencipta sejarah sekali lagi layak ke kejohanan paling berprestij di Asia itu secara merit.

Ini kerana pasukan yang berada di kedudukan ketiga dan keempat dalam kelayakan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang mana sebanyak sebanyak 24 pasukan (3 pasukan terbaik dari pusingan pertama + 18 pasukan ketiga dan keempat dari pusingan kedua + 3 pemenang dari pusingan ‘play-off’) akan diundi dalam enam kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai empat pasukan.

Kesemua pasukan akan bermain ’round-robin’ iaitu tempat sendiri dan tempat lawan dengan setiap pemenang dari setiap kumpulan akan menempatkan diri dalam baki enam slot ke Piala Asia.