Badi dengan pasukan Liga A1 (Liga M3) masih menghantui PDRM FC

24

Semalam telah berlangsung perlawanan pusingan 16 Piala FA yang menyaksikan pasukan yang bermain di liga semi-profesional Liga A1 (Liga M3) iaitu Malaysian University FT (MUFT) telah menewaskan pasukan Liga Super, PDRM FC dengan jaringan 3-0.

Kemenangan MUFT ini adalah satu tamparan hebat buat PDRM sekaligus mengulangi skrip sama yang berlaku pada Piala FA 2022 yang menyaksikan pasukan yang diberi jolokan ‘Giants Killer’ tumbang kepada Perlis United FC yang ketika itu bermain dalam saingan Liga M3.


Badi dengan pasukan yang bermain di liga bawah terus menghantui mereka apabila mereka bocor pada awal permainan iaitu pada minit ke-5′ dan 9′ menerusi jaringan Syahir Abdul Rahman dan Hadi Mohamad.

Cubaan untuk buat kebangkitan gagal dilakukan malah PDRM sekali lagi dihukum pada minit-minit akhir permainan untuk melengkapkan malam yang cukup gemilang buat MUFT.

Namun pujian juga harus diberikan kepada PDRM kerana mereka tidak menyenaraikan seorang pun pemain import pada perlawanan semalam, sebaliknya menggunakan pemain tempatan.

Dalam pada itu, MUFT yang mencipta sejarah berjaya layak ke suku akhir Piala FA dijangka akan bertemu dengan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) berikutan juara bertahan itu dijangka tiada masalah untuk membenam Kelantan Darul Naim FC (KDN) pada aksi pusingan 16 nanti.

Walaupun sedar yang mustahil untuk mereka menang dengan JDT, tapi pastinya pemain-pemain MUFT teruja kerana mendapat peluang untuk menentang juara Liga Super 10 kali berturut-turut.

Mungkinkah JDT akan mengulangi kejayaan pada Piala FA 2022 yang mana mereka membelasah pasukan dari Liga M3 iaitu BRM FC dengan jaringan 10-0.

Orang cakap dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, jadi sama-sama kita tunggu dan lihat.