Kami bermain dengan cukup teruk di PMSL Thailand tapi kami juga banyak belajar – IronPro
Pemain e-sukan PUBG pasukan Malaysia, CRIT VIP iaitu IronPro mengakui mereka bermain dengan cukup teruk di kejohanan PUBG Mobile Super League Southeast Asia Summer 2024 Thailand baru-baru ini.
Menurut IronPro, biarpun mempamerkan permainan hambar ketika di Thailand namun beliau berkata pasukannya turut banyak belajar untuk menjadi lebih matang.
“Untuk PMSL di Thailand kita bermain dengan cukup teruk tapi di sana juga kami banyak belajar untuk jadi lebih matang bila dalam permainan serta banyak benda baru yang kita belajar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
IronPro pada masa sama turut menjelaskan isu di luar membabitkan isu tular konflik dengan bekas rakan sepasukan tidak mengganggu persembahan mereka.
“Sebenarnya isu luar itu tak mengganggu pun.”
Dalam pada itu, beliau berkata untuk kejohanan akan datang iaitu PMSL Jakarta nanti mereka akan mempamerkan permainan yang lebih sistematik.
“Mungkin kita akan buat perubahan dari segi rotasi pemain dan cara kami bermain lebih sistematik. Mungkin sebelum ini kami main semberono sahaja, tapi nanti kami akan bermain dengan cara yang lebih betul lagi.”
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis Pelancaran ACS EDU Tour Season 3 yang berlangsung di Asia Pacific University di Kuala Lumpur.