Perubahan dalam FAM mesti akan berlaku dan tidak boleh dielakkan – Yusoff Mahadi
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memberitahu perubahan dalam FAM pastinya akan berlaku dan perubahan itu tidak boleh dielakkan.
Menurut Yusoff Mahadi, perubahan itu akan berlaku tidak lama lagi iaitu pada Kongress Pemilihan FAM pada tahun hadapan.
“Perubahan dalam FAM mesti akan berlaku, kita tidak boleh elak dan perubahan itu akan berlaku tidak lama lagi.
Maknanya tahun 2025 akan ada Kongres Pemilihan jadi terpulang kepada semua pemegang taruh untuk membuat perubahan atau tidak,”
katanya.
Tambahnya lagi, peminat bola sepak tanah air boleh menyuarakan pandangan mereka tetapi pihak yang boleh membuat perubahan adalah menerusi pemegang taruh pada Kongres Pemilihan nanti.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali ke-11 Penggal 2021-2025.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman telah mengesahkan bahawa kejohanan Pestabola Merdeka akan dianjurkan pada tahun ini.
Noor Azman bagaimanapun berkata pihaknya masih belum membuat keputusan mengenai pasukan yang akan dipelawa untuk menyertai kejohanan itu.
“Untuk Pestabola Merdeka kita belum putuskan lagi dan kemungkinan pada minggu hadapan kita akan hantar pelawaan.
Berdasarkan keadaan semasa, kita akan cuba jemput pasukan dari Pot 1 dan Pot 2.”