Sebagai majikan, kami mahu pastikan Faisal Halim dan keluarga dijaga – Shahril Mokhtar
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Dato’ Sri Shahril Mokhtar memberitahu bahawa pihak kelab akan memastikan keselamatan dan kebajikan pemain mereka iaitu Faisal Halim dan keluarganya dijaga.
“Beliau (Faisal Halim) merupakan pekerja di kelab jadi saya percaya sebagai majikan ini adalah perkara yang harus dibuat untuk memastikan Faisal Halim dan keluarganya terus dijaga sehingga perkara ini selesai. Ia adalah tanggungjawab kami,”
katanya.
Menurut Shahril, mana-mana pemain lain yang menerima nasib yang sama akan mendapat layanan sama seperti Faisal.
Tambahnya lagi, fokus utama kelab ketika ini adalah mahu memastikan pemain itu dapat kembali beraksi di atas padang.
“Tanggungjawab kelab ketika ini adalah untuk menyokong Mickey (Faisal) dari segi fizikal, mental dan kewangan untuk beliau kembali beraksi.”
Dalam pada itu, Shahril turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap Faisal akan kembali dalam arena bola sepak dalam masa terdekat kerana pemain tersebut adalah seorang pemain yang bersemangat tinggi dan cukup kental.
Terdahulu, dunia bola sepak dikejutkan dengan insiden tidak berperikemanusiaan apabila pemain sensasi pasukan kebangsaan Harimau Malaya menjadi mangsa simbah asid oleh individu tidak dikenali pada awal Mei lalu.
Akibat daripada kejadian simbah asid tersebut, pemain itu terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk memulihkan kesan lecur yang agak serius.
Sidang media yang berlangsung semalam merupakan penampilan pertama Faisal di khalayak ramai selepas insiden tersebut dan pemain itu dikawal rapi oleh pengawal peribadi bersenjata.