Adam Nor Azlin lebih selesa bermain di bahagian pertahanan
Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin memberitahu beliau lebih selesa bermain di bahagian pertahanan biarpun dikenali sebagai seorang pemain yang boleh bermain di banyak posisi termasuk posisi penyerang.
Menurut Adam, kebanyakan pasukan ketika ini lebih gemar menggunakan khidmat pemain import di bahagian serangan, oleh itu tidak mungkin untuk dirinya beraksi di posisi tersebut kecuali dalam keadaan terpaksa.
“Kita tahu setiap pasukan meletakkan pemain import di bahagian serangan jadi saya rasa tak mungkin saya akan kembali beraksi sebagai penyerang.
Tapi itu tidak mustahil jika keadaan memaksa. Keutamaan saya adalah di bahagian bawah sebab saya lebih gemar untuk ‘command’ dari bawah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Adam berkata pasukan berada dalam keadaan yang cukup baik dengan kesemua pemain memberikan komitmen tinggi dan mereka kini sedang memperbaiki segala kelemahan untuk menjadi sebuah skuad yang mantap.
“Semua pemain memberikan komitmen tinggi dalam latihan mahu pun dalam perlawanan jadi itu tidak menjadi masalah untuk kita ‘blend’ jadi satu pasukan.
Bagi saya setiap posisi ada kelebihan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dan bagi saya kita terlalu awal lagi kerana liga pun baru bermula jadi insyaAllah perlawanan esok atau perlawanan seterusnya Sri Pahang akan mantap.”
Sementara itu, Sri Pahang akan turun beraksi pada malam ini menentang Penang FC untuk aksi pusingan 16 Piala FA.