Penang FC musim ini guna seorang sahaja penyerang import – Akmal Rizal
Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal memberitahu bahawa untuk saingan Liga Super musim 2024/25 beliau hanya menggunakan seorang sahaja pemain import di bahagian serangan.
Menurut Akmal, keputusan untuk menggunakan seorang sahaja penyerang import kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada penyerang tempatan.
“Seperti tahun ini saya hanya mengambil seorang penyerang import iaitu Diaz dan saya ada Nabil Latpi dan Alif Ikmalrizal sebagai penyerang tempatan.
Jadi apabila ada kecederaan atau ‘off form’ daripada pemain import inilah peluang untuk penyerang tempatan untuk tunjukkan kemampuan mereka.
Saya juga yakin dengan kemampuan Nabil dan Alif kerana kedua-dua pemain ini mempunyai kualiti ketika kita melakukan serangan dan saya berharap mereka apabila diberi peluang dalam kesebelasan utama sebagai penyerang mereka dapat tunjukkan prestasi sebenar,”
katanya.
Pasukan Penang ketika ini berada di Temerloh, Pahang bagi mengharungi perlawanan pusingan 16 Piala FA menentang Sri Pahang FC pada malam ini.
Dalam pada itu, Akmal juga memberi bayangan kemungkinan tiga pemainnya yang baru pulang dari tugasan negara bersama skuad Harimau Malaya akan diturunkan dalam kesebelasan utama malam ini.
Tiga pemain tersebut adalah Adib Ra’op, Syamer Kutty Abba dan Sikh Izhan.
“Dalam perancangan mungkin mereka akan berada dalam kesebelasan utama tapi apa-apa pun kita masih melihat keadaan samada siapa benar-benar bersedia dan jika ada yang tak sihat mungkin ada pertukaran di saat-saat akhir.”