Sebagai pasukan kita perlu fokus untuk cipta lebih banyak peluang – Kpah Sherman
Penyerang sensasi Sri Pahang FC, Kpah Sherman mengakui kecewa apabila pasukannya tersingkir awal dari saingan Piala FA 2024 selepas mereka tewas kepada Penang FC 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
“Ia sangat mengecewakan untuk kami tidak dapat melangkah ke peringkat seterusnya. Saya tak tahu nak cakap apa kepada peminat dan pihak pengurusan yang pastinya kecewa kerana kami sepatutnya menang perlawanan ini tapi inilah bola sepak, ada kalanya anda menang, ada kalanya anda kalah.
Kami sudah berikan yang terbaik dalam 120 minit permainan tapi inilah bola sepak. Saya rasa mereka (Penang) bernasib baik menang dalam penentuan sepakan penalti, jadi saya ucapkan tahniah kepada mereka,”
katanya.
Menurut Kpah, mereka perlu segera lupakan kekalahan itu dan kembali fokus untuk mengharungi saingan Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini.
Dalam pada itu, beliau yang merupakan penyerang prolifik di Liga Malaysia sejak beberapa musim lalu sedikit bergelut pada beberapa perlawanan awal musim dan masih lagi belum menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan.
Beliau bagaimanapun tidak panik sebaliknya berkata ia adalah perkara yang biasa berlaku kepada seseorang penyerang jadi beliau akan terus bekerja keras untuk tingkatkan lagi prestasinya sekaligus dapat menjadi mesin gol buat Sri Pahang.
“Saya belum jaringkan gol dalam tiga perlawanan dan ia bukan sesuatu perkara yang pelik kerana dalam bola sepak anda boleh jaringkan banyak gol pada musim lalu tapi musim baru agak bergelut sedikit.
Kita banyak cipta peluang tapi penyudah tumpul, jadi kita kena kembali ke ‘drawing board’ semula untuk perkemas dan harap dapat jaringkan gol pada perlawanan akan datang.
Saya bekerja keras setiap hari kerana mahu ‘improve’ diri saya setiap hari. Saya tidak dapat banyak peluang biarpun banyak berlari, jadi kita sebagai pasukan perlu fokus untuk mencipta lebih banyak peluang.”
Sementara itu, beliau berkata walaupun mereka bermain dengan cukup baik apabila dapat menguasai perlawanan tetapi mereka tidak bernasib baik.