Nabil Latpi tiada masalah galas tugas sebagai penyerang utama
Pemain penyerang Penang FC, Nabil Latpi memberitahu bahawa beliau tiada masalah untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama pasukan selepas penyerang import mereka iaitu Rodrigo Dias tidak dapat diturunkan dek kecederaan.
Menurut Nabil, beliau tidak berasa tekanan langsung apabila turun pada perlawanan pusingan 16 Piala FA menentang Sri Pahang FC kerana pernah berdepan situasi sama ketika menyarung jersi PDRM FC sebelum ini.
“Sebelum ini pun ketika di PDRM FC saya sudah biasa main tempat itu dan saya juga sudah biasa berhadapan dengan pemain-pemain pertahanan bertubuh besar.
Jadi dengan pengalaman itu juga saya dapat bermain dengan baik pada malam ini,”
katanya.
Pada perlawanan yang cukup sengit itu, Nabil berjaya menjaringkan gol untuk membantu pasukannya mengikat Sri Pahang sehingga ke masa tambahan sebelum pasukan Harimau Kumbang berjaya mara ke suku akhir selepas menang 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.
Dalam pada itu, Nabil mengakui di atas kertas pasukan Sri Pahang merupakan pasukan pilihan untuk menang tetapi semangat juang yang tinggi dan tak putus asa berjaya bantu skuad Penang untuk memperoleh kemenangan.
“Atas kertas mungkin orang cakap Sri Pahang akan menang tapi bagi kami, kami tidak boleh ambil mudah jadi di situ kami ikut segala percaturan yang dibuat oleh ketua jurulatih menjadi dan semangat satu keluarga menjadi salah satu faktor kami menang malam ini.”
Sementara itu, kemenangan itu akan menyaksikan Penang akan bertemu dengan musuh tradisi Kedah Darul Aman FC pada aksi suku akhir yang akan berlangsung pada 28 Jun ini.