Mana-mana pemain bekerja keras mereka akan dapat peluang bermain – Akmal Rizal

52

Ketua jurulatih pasukan Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberitahu mana-mana pemain yang sentiasa bekerja keras dalam latihan pasti beliau akan memberi peluang untuk pemain itu diturunkan.

Menurut Akmal, beliau sentiasa membuka peluang tersebut kepada semua pemain-pemainnya tidak kira pemain import, senior mahu pun pemain muda.


“Jika mereka bekerja keras dalam latihan mereka akan dapat peluang untuk bermain dan mereka ‘deliver’ yang terbaik.

Jadi peluang sentiasa ada untuk mana-mana pemain yang bekerja keras dan menunjukkan prestasi yang terbaik mereka akan dapat peluang tak kira pemain muda, pemain berpengalaman atau pun pemain import.

Siapa yang terbaik dalam latihan mereka akan dapat tempat dalam kesebelasan utama,”

katanya.

Akmal berkata demikian selepas pasukannya berjaya menumbangkan gergasi Sri Pahang FC dalam perlawanan pusingan 16 Piala FA 4-3 pada penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Dalam pada itu, Akmal turut memberi pujian kepada dua penyerang tempatan iaitu Nabil Latpi dan Aliff Ikmalrizal yang memberikan aksi yang cukup cemerlang biarpun berdepan barisan pertahanan import dan pemain berpengalaman.

“Saya gembira dengan Nabil Latpi yang beraksi sepanjang perlawanan 120 minit kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk beliau kerana beliau boleh dikatakan pemain senior dan Aliff Ikmalrizal yang dimasukkan juga telah memberikan aksi yang baik.

Bukan mudah untuk beraksi menentang Fadhli Shas yang merupakan seorang pemain yang cukup berpengalaman dan juga pemain import di barisan pertahanan.”

Sementara itu, beliau berharap agar pasukannya dapat meneruskan momentum cemerlang ini dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia nanti.

Skuad Harimau Kumbang selepas ini akan bertemu musuh tradisi mereka iaitu Kedah Darul Aman FC pada aksi suku akhir Piala FA yang akan berlangsung pada 28 Jun ini.