Kita boleh menguasai permainan tapi kita kurang penggempur yang klinikal – Fandi Ahmad
Ketua jurulatih pasukan Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berkata masalah utama pasukannya ketika ini adalah di bahagian serangan yang mana mereka tidak mampu untuk menjaringkan gol biarpun dapat menguasai permainan.
“Kita sebenarnya masalah untuk cetak gol. Semua tahu yang kitab oleh dominasi permainan dan cipta peluang tapi kita kurang penggempur yang klinikal.
Tadi di saat-saat akhir kita ada peluang ‘volley’ pun naik ke atas, tapi pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol lawan yang berjaya menyelamatkan banyak percubaan yang baik.
Apa pun kita tidak boleh putus asa dan perlu terus berjuang kerana musim baru bermula,”
katanya.
Fandi berkata demikian selepas pasukannya tarpaksa akur apabila tewas 4-3 kepada Penang FC dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Kekalahan itu menyaksikan Sri Pahang tersingkir awal dari saingan Piala FA untuk musim ini.
Beliau yang kecewa dengan kekalahan itu awal itu berkata mereka menyasarkan untuk layak sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir tapi sebaliknya berlaku.
Dalam pada itu, Fandi turut mengulas lanjut mengenai insiden perselisihan faham di antara pemain dan pegawai pasukan ketika penentuan sepakan penalti.
“Ya ada perselisihan faham antara pemain dan pegawai untuk penalti. Ada yang nak, ada yang tak nak.
Semalam kita sudah buat latihan sepakan penalti, siapa nak ambil tapi hari ini pemain itu tidak yakin jadi sebab itu kecoh sikit. Kita tak boleh paksa siapa ambil.”
Susulan tersingkir awal dari kejohanan itu, Fandi berkata mereka akan memberi fokus pada saingan Liga Super dan Piala Malaysia.