InsyaAllah kami boleh sampai ke Piala Dunia B-17 tahun depan – Amar Imran

118

Pemain pasukan kebangsaan Malaysia B-17, Muhammad Amar Imran Uzaini Ashadi mengakui perjalanan mereka masih lagi jauh tetapi beliau menegaskan tidak mustahil mereka mampu layak ke Piala Dunia B-17 pada tahun hadapan.

Menurut Amar, setiap pemain pastinya mempunyai cita-cita untuk bermain di pentas tertinggi antarabangsa dan dengan kerja keras beliau yakin cita-cita mampu dicapai.


“Sudah semestinya kami ingin dapatkan tempat itu dan kami tahu perjalanan itu agak susah tapi tidak mustahil untuk kita mencapai.

Kalau kami terus beri komitmen tinggi dan berusaha insyaAllah kami boleh sampai ke Piala Dunia B-17 tahun depan,”

katanya.

Amar berkata demikian selepas ditemui pada sesi memperkenalkan pemain skuad Harimau Malaya B-16 yang akan menyertai Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 di Surakarta, Indonesia.

Dalam pada itu, Amar memberitahu beliau dan rakan sepasukan lain tiada masalah untuk mendapatkan keserasian dan menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih Jorda Ribera.

Ini kerana menurutnya, separuh daripada pemain dalam skuad negara adalah pemain dari Akademi JDT dan juga dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

“Bagi kami tiada masalah untuk bermain di bawah jurulatih ini sebab taktikalnya lebih kurang seperti di Akademi JDT dan pemain dari AMD juga saya rasa tiada masalah kerana semua tahu apa yang jurulatih mahu jadi kami tiada masalah untuk terjemahkan taktikalnya.”

Sementara itu, skuad negara akan terbang ke Surakarta pada 20 Jun (hari ini) telah diundi dalam Kumpulan C bersama Timor-Leste, Australia dan Thailand.