Minimum jumlah angkat saya perlu buat untuk dapatkan pingat di Olimpik adalah 305kg – Aniq Kasdan
Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan memberitahu beliau perlu mendapatkan jumlah angkatan sekurang-kurangnya 305 kilogram (kg) sekiranya beliau mahu memperoleh pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada Julai depan.
Menurut Aniq, sasaran peribadinya sudah semestinya mahu cuba dapatkan pingat emas di temasya tertinggi dunia itu.
“Untuk sasaran peribadi saya semestinya semua atlet nak pingat emas sebab sudah sampai di kejohanan sukan tertinggi dunia.
Jadi minimum jumlah angkatan yang saya kena buat untuk mendapat pingat tidak kira warna apa adalah 305kg. Jumlah tersebut adalah hasil kajian daripada jurulatih dan pihak persatuan.
Oleh itu saya perlu dapatkan 305kg baru peluang untuk dapatkan pingat itu ada,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Atlet angkat berat berusia 22 tahun itu nyata teruja apabila beliau berjaya melayakkan diri ke temasya Olimpik buat pertama kali selepas mengesahkan slot secara automatik selepas mengakhiri cabaran di kedudukan kelapan keseluruhan pada Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand baru-baru ini.
Aniq yang bertanding dalam Kategori 61 kg telah berjaya membuat angkatan secara keseluruhan 290kg (125kg snatch, 165kg clean & jerk).
Dalam pada itu, bagi memastikan beliau dapat membuat persiapan rapi menjelang temasya itu Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) telah menghantar Aniq untuk berlatih di dalam dan juga di luar negara.
Sementara itu, Aniq yang merupakan salah seorang atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) mengakui program tersebut banyak membantunya bagi memastikan segala keperluannya untuk mempersiapkan diri berjalan dengan lancar.
“Dalam program RTG ini mereka memang beri sokongan penuh dari segi peruntukan, dari segi apa sahaja permintaan saya mereka akan cuba dapatkan sebaik mungkin.”