Aniq Kasdan dapat bantuan psikologi daripada ISN untuk tangani tekanan di Olimpik Paris
Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan mengakui merasai tekanan apabila beliau bakal membuat penampilan pertamanya di temasya terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada Julai depan.
Aniq bagaimanapun berkata beliau mendapat bantuan psikologi daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk menangani tekanan itu.
“Tekanan itu memang ada cuma saya perlu kuatkan mental saya dan saya juga dapat bantuan daripada ISN yang mana saya perlu hadir ke kelas psikologi di mana dalam kelas tersebut saya dibantu untuk hadap tekanan-tekanan seperti itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Aniq turut menjangkakan saingan sengit untuk kategorinya nanti berikutan jurang angkatan tidak banyak beza.
“Semua negara yang layak ke Olimpik sebab jumlah angkatan kami semua lebih kurang saja dengan perbezaan sekitar 1kg hingga 3kg sahaja.”
Beliau pada masa sama turut meletakkan sasaran untuk meraih pingat di temasya itu tanpa mengira warna pingat.
Jelasnya lagi, bagi memastikan peluangnya untuk meraih pingat itu cerah beliau perlu mendapatkan jumlah angkatan sekurang-kurangnya 305 kilogram (kg).
“Semua atlet pastinya mahu pingat emas apabila sudah sampai di Olimpik. Jumlah angkatan minimum yang saya kena buat untuk dapat pingat tidak kira warna apa adalah 305kg.
Jumlah tersebut adalah hasil kajian daripada jurulatih dan pihak persatuan. Jadi saya perlu dapatkan 305kg baru peluang untuk dapatkan pingat itu ada.”
Terdahulu atlet berusia 22 tahun itu mengesahkan slot secara automatik ke Olimpik selepas mengakhiri cabaran di kedudukan kelapan keseluruhan pada Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand baru-baru ini.