Pemain e-sukan juga tidak terlepas daripada isu tak dibayar gaji – Sir Cloud
Di Malaysia sukan bola sepak bukan sahaja popular di negara tetapi ia juga sukan yang cukup sinonim apabila saban tahun masalah kewangan atau lebih tepat lagi tak bayar gaji pemain dan pegawai berlaku yang mana ia semakin parah dari semasa ke semasa.
Masalah tidak dibayar gaji ini tidak hanya kepada pemain bola sepak sahaja tetapi pemain e-sukan juga tidak terlepas menjadi mangsa tidak dibayar gaji.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh pengulas e-sukan terkenal iaitu Sir Cloud yang mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam industri e-sukan.
“Kalau nak kata tentang penambahbaikan adalah kita perlu ada struktur yang lebih baik sebab apa yang kita nampak dalam perjalanan e-sukan ini banyak cerita yang kurang enak kita dengar.
Contohnya pemain tidak dibayar gaji, penipuan kontrak dan beberapa lagi. Jadi saya rasa untuk kita kukuhkan lagi industri e-sukan negara kita perlu ‘bersihkan rumah kita dahulu’, jika tidak bagaimana kita nak bersinar di persada antarabangsa,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sir Cloud juga berkata e-sukan tempatan kini berada di landasan tepat terutamanya apabila National Esports Development Guideline dilancarkan baru-baru ini.
“Satu benda yang sangat membantu ialah pelancaran National Esports Development Guideline di mana di situ kita nampak banyak intipati yang menarik untuk memberikan garis panduan kepada komuniti apa yang perlu dilakukan.
Jadi saya rasa kalau kitab oleh mengukuhkan benda itu daripada akar-umbi ia akan jadi satu elemen penting untuk kita terus berjaya.”
Sementara itu, Sir Cloud yang cukup terkenal dalam komuniti e-sukan sebagai pengulas juga melancarkan sebuah buku berjudul ‘Esports Selamatkan Hidup Aku’ yang mana ia mengisahkan tentang perjalanannya dalam dunia e-sukan dari awal sehingga ke hari ini termasuk jatuh bangun beliau sepanjang berkecimpung dalam dunia e-sukan.