Kita sudah ada beberapa strategi untuk aksi di Wild Card MSC World Cup – Pabz
Jurulatih pasukan e-sukan MLBB Homebois, Pabz memberitahu beliau dan barisan kejurulatihan sudah pun merangka beberapa strategi menjelang perlawanan di Wild Card MSC Esports Cup 2024 yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
Menurut Pabz, sepanjang tempoh persiapan pasukan sebelum kejohanan ini mereka sudah pun memperbaiki kelemahan termasuk kelemahan komunikasi antara pemain.
“Kita sudah berlatih sehabis baik dan kami juga sudah ada beberapa strategi untuk kita hadapi ‘best of 1’ sebab kita tahu yang ‘best of 1’ itu adalah risiko jadi kita akan cuba bawa nama Malaysia kerana kita terkenal dengan kehebatan di ‘best of 1’.
Selepas perlawanan akhir MPL MY kita turun berlatih yang mana kita dapat kenal pasti beberapa kelemahan ketika tewas kepada Selangor Red Giants (SRG) dan kita sudah pun mengatasi kelemahan itu yang mana ia termasuk masalah komunikasi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada kejohanan Wild Card nanti, sekiranya Homebois berjaya mereka akan menyertai SRG untuk beraksi di MSC World Cup 2024.
Dalam pada itu, Pabz berkata mereka perlu memberikan aksi terbaik mereka sepanjang kejohanan berlangsung dan tidak boleh pandang rendah langsung dengan pasukan lawan kerana setiap pasukan yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri.
“Setiap pasukan dalam Wildcard memang kuat dan mereka ini adalah pasukan terbaik di rantau masing-masing jadi kita tak boleh pandang rendah dan kami akan beri 100% dalam setiap perlawanan kami nanti.”
Pabz berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi.