Homebois bakal berkolaborasi dengan pasukan dari Eropah – Daddyhood

20

Pengasas pasukan e-sukan MLBB Homebois, Daddyhood memberitahu bahawa pasukannya akan berkolaborasi dengan pasukan di Eropah tidak lama lagi.

Menurut Daddyhood, beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai pasukan tersebut kerana perlu membuat penilaian daripada beberapa aspek sebelum membuat keputusan.


“Pasukan yang ‘approach’ itu pasukan yang agak besar juga cuma saya ketika ini jika nak berkolaborasi saya perlu melihat beberapa faktor dan aspek terlebih dahulu kerana ketika ini kita perlu jaga sensitiviti kerana mungkin ada pasukan yang pro Israel atau yang bukan.

Jadi perkara itu yang perlu kita jaga, jadi banyak yang saya perlu teliti dan pasukan tersebut adalah dari Eropah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Daddyhood berkata demikian ketika ditemui di KLIA, Sepang sebelum Homebois terbang ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadapi Wild Card MSC Esports World Cup 2024.

Jika mereka berjaya di Wild Card nanti, Homebois akan menyertai sebuah lagi pasukan daripada Malaysia yang sudah berjaya mengesahkan slot mereka ke MSC Esports World Cup iaitu Selangor Red Giants (SRG).

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukannya menjelang Wild Card, Daddyhood berkata pasukannya sudah bersedia untuk mengharungi saingan itu selepas membuat persiapan cukup rapi.

“Untuk Wild Card Alhamdulillah saya rasa mereka sudah bersedia dengan sangat baik dari sudut latihan, dari sudut mental dan juga kesihatan saya rasa mereka sudah bersedia untuk ke Riyadh.”