Presint 5 Putrajaya akan jadi ‘Football City’ – Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa kawasan Presint 5, Putrajaya akan menjadi bandar bola sepak selepas ini.
“Saya dimaklumkan oleh Perbadanan Putrajaya bahawa Presint 5, Putrajaya akan menjadi ‘Football City’ dengan adanya ibu pejabat AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), ibu pejabat AFF (Asean Football Federation), FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan NTC (Pusat Latihan Kebangsaan).
Jadi fasiliti lengkap semua di satu tempat dan saya percaya dengan adanya fasiliti baru ini ia akan menjadi lebih selesa untuk semua atlet bola sepak kita kerana sekarang ini tanah di Kelana Jaya memang tidak cukup untuk menampung jadual latihan mereka, bukan sahaja pasukan lelaki tetapi juga pasukan wanita juga memerlukan tempat latihan,”
katanya.
Jelas Hannah lagi, dengan adanya NTC ini mereka (FAM) tidak perlu lagi menyewa tempat lain untuk latihan.
Hannah berkata demikian pada sidang media selepas tamat majlis pecah tanah bagi pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya, pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau turut gembira apabila projek pembinaan NTC ini akhirnya dapat dijalankan juga selepas tertangguh dek masalah kewangan dan isu tanah.
“Projek ini sudah bermula sejak tahun 2018 dan telah melalui pelbagai tangan Perdana Menteri dan Menteri KBS. Bila saya datang pada tahun 2022, saya difahamkan projek tak dapat berjalan pada masa itu kerana ada kekangan kewangan dan isu tanah yang belum diselesaikan.
Jadi dengan adanya perbincangan dengan Perdana Menteri dan pelbagai kementerian khasnya Kementerian Ekonomi, sukacita dimaklumkan sekarang projek sudah boleh bermula dengan kos RM45 juta untuk pembinaan NTC.”
Oleh itu, beliau berharap agar projek NTC ini akan berjalan dengan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Hannah berkata pembinaan NTC akan mempunyai dua fasa iaitu fasa pertama ditaja oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), manakala fasa kedua pula daripada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Kementerian Kewangan.