Untuk LWN 2024, kita perlu siapkan pelesenan kelab dahulu sebelum perkenal pemain import – Suraya Yaacob

30

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob memberitahu pihaknya akan memperkenalkan kuota pemain import untuk saingan Liga Wanita Nasional (LWN).

Suraya bagaimanapun berkata pengenalan pemain import dalam saingan LWN hanya akan diperkenalkan selepas kesemua kelab menyiapkan pelesenan kelab mereka terlebih dahulu.


“Untuk saingan LWN kita perlu siapkan pelesenan kelab terlebih dahulu sebelum ini perkenalkan pemain import untuk kelab-kelab.

Pelesenan kelab ini kita sudah mulakan sejak dua tahun lepas jadi kita berharap tahun ini kelab-kelab bersedia untuk buat pelesenan kelab mereka dan kemudiannya kita harap menjelang tahun hadapan kita boleh perkenalkan kuota dua atau empat pemain import,”

katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak FAM bersedia untuk memberi bantuan kepada pasukan bola sepak wanita Sabah untuk membawa masuk enam pemain import bagi memperkuatkan pasukan bagi mengharungi cabaran AFC Women’s Champions League (AWCL) 2024.

Dalam pada itu, beliau turut bersyukur apabila pihak FAM membantu dari segi kewangan untuk penganjuran LWN pada musim ini.

“Kita bersyukur kerana FAM membantu. Saya wang hadiah ditingkatkan dan kedua subsidi kepada pasukan juga telah ditingkatkan.”

Beliau pada masa sama turut memberitahu bahawa mereka akan mengadakan karnival akar umbi pada setiap bulan pada minggu pertama.

“Setiap minggu pertama setiap bulan kita akan adakan karnival akar umbi yang mana pada waktu pagi buat perlawanan akar umbi lelaki atau perempuan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya kita dapat lebih ‘visibility’ kepada mereka yang berminat untuk bermain bola sepak.

Manakala untuk sesi petang pula baru perlawanan LWN akan berlangsung.”

Sementara itu, saingan LWN untuk musim ini menyaksikan sebanyak lapan pasukan sudah mengesahkan diri untuk bersaing bagi merebut gelaran juara.

Suraya juga memberitahu pada musim ini pihaknya sudah membuat proses menilai keupayaan setiap pasukan yang bertanding supaya kesemua pasukan yang terlibat dapat mengharungi saingan sehingga tamat liga.