Red Eagle sasar untuk berada dalam kedudukan Top 5 LWN 2024

12

Saingan liga bola sepak wanita iaitu Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024 bakal membuka tirainya tidak lama lagi dengan lapan pasukan sudah mengesahkan diri untuk bersaing termasuk pasukan Red Eagle.

Menurut Pengurus Red Eagle iaitu Shahrul Nizam Baharuddin, Red Eagle yang kali pertama menyertai saingan LWN pada tahun ini meletak sasaran untuk sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan Top 5.


“Sudah pastinya kami mahukan kejayaan dalam saingan LWN tapi untuk tahun 2024 ini kami bangunkan pemain-pemain baru selepas pemain-pemain lama berhijrah ke pasukan lain.

Jadi kami berharap dapat sekurang-kurangnya lima terbaik pun kami sudah cukup bersyukur,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Shahrul berkata sasaran tersebut adalah sesuai dengan status pasukan mereka sebagai pasukan ‘underdog’ untuk saingan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Shahrul juga berkata beliau sebagai pengurus pasukan juga sudah mempunyai percaturan bagi memastikan pasukan dari negeri Kedah itu dapat meneruskan saingan liga sehingga tamat musim.

“Alhamdulillah setakat ini kami sudah ada beberapa penyumbang dan mereka ini merupakan penyumbang yang mempunyai nama di Malaysia.

Mereka turut bantu kami dari segi kewangan dan peralatan dan saya sebagai pengurus pasukan juga sudah bersedia dari segi kewangan jadi Alhamdulillah setakat ini berjalan dengan baik.”