Keutamaan kepada Sabah FC sebelum fikir tawaran-tawaran lain – Ong Kim Swee

41

Ketua jurulatih pasukan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menegaskan bahawa keutamaannya ketika ini adalah bersama pasukannya dan mengenepikan tawaran-tawaran lain buat masa ini.

Menurut Kim Swee, beliau berkata demikian kerana mahu pastikan pasukan Sabah berada di landasan yang tepat terlebih dahulu.


“Seperti yang saya katakan saya mempunyai sikap terbuka jadi apa jua tawaran yang datang harus saya ketepikan ataupun memikirkan selepas ini dimana tugas saya sekarang ini masih bersama Sabah.

Tujuan saya ketika ini untuk memastikan Sabah berada di landasan tepat dan pada masa yang sama keutamaan harus diberikan kepada Sabah.

Jika ada perbincangan selanjutnya ingin dilakukan, prioriti tetap pada pasukan Sabah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kim Swee memaklumkan bahawa kontraknya bersama skuad The Rhinos akan berakhir pada November depan.

Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23 itu turut bangga dengan pencapaian pasukan bola sepak wanita Sabah apabila mereka disahkan akan bersaing di pentas Asia iaitu AFC Women’s Champions League (AWCL) 2024.

“Satu sejarah buat pasukan bola sepak wanita Sabah terutamanya pihak pengurusan yang diketuai oleh pengurus Afizy Dimana beliau mempunyai visi yang cukup baik dan ini pasti akan memberi impak pada semua pemain-pemain wanita di negeri Sabah terutamanya dimana mereka tahu jika pasukan wanita layak ke pentas Asia, mereka sudah berada di tahap lain.

Ia sekaligus akan dapat menarik minat lebih ramai wanita untuk bermain bola sepak.”

Oleh itu, beliau akan sentiasa memberi sokongan penuh dan berada di belakang pasukan bola sepak wanita Sabah di kejohanan itu nanti.

Sementara itu, Sabah bakal turun beraksi dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2024 menentang Terengganu FC pada malam ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).