Qaseh Rania teruja dapat tawaran ke sesi ‘trial’ di Wolfburg

36

Bola sepak wanita terus memperlihatkan perkembangan yang cukup positif dengan terbaru pemain bola sepak wanita muda Qaseh Rania Khairul Najib telah mendapat tawaran daripada kelab gergasi Jerman iaitu Vfl Wolfsburg untuk menjalani sesi ‘trial’ di sana pada bulan Ogos ini.

Menurut Qaseh, beliau rasa bersyukur dan teruja apabila impiannya untuk ke luar negara menjadi kenyataan dan beliau akan bekerja keras sepanjang tempoh di sana nanti.


“Saya rasa bersyukur dan gembira mendapat tawaran untuk menjalani latihan di Wolfsburg kerana itu adalah impian saya jadi saya perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Saya juga tak sabar nak tunjukkan kemampuan saya sekaligus mahu beri saingan kepada pemain-pemain di sana,”

katanya.

Tambah pemain berusia 14 tahun itu lagi, beliau sedar saingan sengit menanti beliau di sana berikutan pemain-pemain yang bermain di kelab itu mempunyai bakat yang cukup hebat.

Beliau turut mengakui bahawa keadaan cuaca dan pemakanan di Jerman akan menjadi antara salah satu cabaran yang perlu dihadapinya nanti, namun beliau sudah bersedia.

Qaseh berkata demikian ketika ditemui selepas menerima surat tawaran dari Wolfsburg di pejabat Menteri Besar Selangor (MBI).

Untuk makluman, beliau yang pernah meraih anugerah Pemain Muda Terbaik di FAS Women’s Super League (WSL) 2023 merupakan pemain bola sepak wanita tajaan MBI.

Dalam pada itu, Qaseh memberitahu beliau akan ditemani bapanya sepanjang tempoh latihannya di Jerman nanti.

Beliau pada masa sama turut mengharapkan doa daripada orang ramai untuk kejayaannya di sana.

“Pertama sekali saya minta doa daripada semua orang untuk kejayaan saya di masa hadapan dan ketika saya berada di sana.”

Sementara itu, selain mahu berjaya dalam karier bola sepak Qaseh juga mahu membanggakan bapanya yang telah banyak berkorban dalam membantunya menjadi seorang pemain bola sepak yang bagus.