Kami lihat potensi pada Qaseh Rania jadi kami mahu beri peluang untuk sesi ‘trial’ – Andreas Kruse

13

Naib Presiden Vfl Wolfsburg, Andreas Kruse memberitahu bahawa pihaknya melihat potensi besar yang ada pada Qaseh Rania membuatkan mereka bersetuju untuk memberi peluang kepada pemain itu untuk menjalani sesi ‘trial’ bersama kelab itu.

“Kami terima video pemain itu dan hantar kepada jabatan sukan di mana mereka kemudian berkata Qaseh Rania mempunyai potensi besar jadi mereka mahu beri peluang kepadanya untuk menjalani sesi ‘trial’.

Sekiranya pemain itu dapat mempamerkan prestasi terbaik ketika di sana, mungkin beliau akan ‘tinggal’ di sana dengan lebih lama,”

katanya.

Menurut Kruse, pemain berusia 14 tahun itu akan diberikan pendedahan berlatih bersama pemain terbaik kelab dengan bimbingan jurulatih pasukan termasuk dapat menggunakan fasiliti bertaraf dunia.


Pasukan bola sepak wanita Wolfsburg merupakan pasukan wanita terbaik di dunia ketika ini.

Dalam pada itu, Kruse turut memberitahu bahawa pihaknya akan membantu Qaseh untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di Jerman sepanjang tempoh ‘trial’.

“Kami akan bantu beliau untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Jerman termasuk belajar adaptasi dengan cuaca, bahasa, makanan dan budaya.”

Sementara itu, beliau turut mengakui bahawa pemain bola sepak wanita di rantau Asia ketika ini memperlihatkan perkembangan yang cukup positif dan mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Oleh sebab itu, pihaknya akan terus memantau pemain-pemain bola sepak wanita di rantau Asia dan seluruh dunia untuk dibawa menyertai kelab itu.