Jika dipanggil untuk Piala AFF nanti saya akan buat lebih baik lagi – Safwan Mazlan

12

Pemain pertahanan Terengganu FC, Safwan Mazlan memberi bayangan keinginannya untuk terus menyarung jersi pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk kejohanan Piala AFF 2024 yang akan berlangsung pada 23 November hingga 21 Disember 2024.

“Saya tidak mahu kata berpuas hati dengan aksi saya pada dua perlawanan sebelum ini tapi bagi saya okeylah sebab dapat timba pengalaman bersama pasukan kebangsaan.

Mungkin jika dipanggil nanti untuk kejohanan Piala AFF saya akan buat dengan lebih baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Safwan menjadi sebutan ramai peminat bola sepak tanah air selepas beliau mempamerkan aksi yang cemerlang dalam dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya seri 1-1 menentang Republik Kyrgyz dan menang 3-1 menentang Chinese Taipei.


Beliau juga memberitahu akan terus tingkatkan prestasinya sepanjang musim ini dalam saingan Liga Malaysia bagi memastikan dirinya terus mendapat perhatian ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Dalam pada itu, Safwan memberitahu beliau dan rakan sepasukannya sudah bersiap sedia dan akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2024 menentang Sabah FC malam ini.

“InsyaAllah saya dan pasukan akan buat yang terbaik. Perlawanan esok (hari ini) sangat penting buat kami untuk ke peringkat seterusnya.

Ya kami tahu pasukan Sabah adalah pasukan yang bagus tambahan pula mereka mempunyai ramai pemain kebangsaan tapi kami akan turun esok dan buat yang terbaik untuk dapatkan keputusan positif.”