Liga A1 kompetitif, kita cuba main ‘possession’ seperti gaya Argentina – Federico Ezequiel Hernandez

52

Ketua jurulatih pasukan Bunga Raya Damansara FC, Federico Ezequiel Hernandez  mengakui saingan liga semi-profesional Liga A1 cukup kompetitif, oleh itu beliau mahu menerapkan corak permainan gaya Argentina.

“Walaupun baru perlawanan ketiga tapi saya sudah menonton perlawanan-perlawanan Liga A1 yang lain yang mana saya dapati saingan liga ini memang kompetitif.

Oleh sebab itu saya cuba terapkan corak permainan sedikit berbeza ‘possession’ seperti gaya Argentina yang mana kadang-kala menjadi dan kadang-kala sebaliknya,”

katanya.

Menurut Hernandez, beliau kini sedang membuat sedikit penambahbaikan dan apabila selesai mereka akan menjadi lebih baik.


Terdahulu pada aksi ketiga Liga A1 telah menyaksikan Bunga Raya Damansara berjaya mengikat juara bertahan Imigresen FC 1-1.

Dalam pada itu, Hernandez mengakui pasukannya mempunyai banyak peluang tetapi gagal menyempurnakannya.

Tambahnya lagi, perlawanan tersebut turut dicemari dengan insiden yang menyebabkan momentum mereka terjejas.

“Ya kami mempunyai peluang tapi gagal memanfaatkannya tapi secara keseluruhannya kami mempunyai peluang yang lebih banyak berbanding pasukan lawan.

Separuh masa kedua kita bermain 11 minit sahaja atau sebenarnya anda boleh katakan kita bermain 45 minit sahaja tapi itulah situasinya.

Tapi tiada masalah kerana ia sebahagian daripada bola sepak.”

Sementara itu, keputusan seri itu menyaksikan Bunga Raya Damansara kini berada di kedudukan kedua liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri, manakala Imigresen yang turut mengumpul jumlah mata yang sama berada di kedudukan ketiga dek perbezaan jaringan.

Dua lagi pasukan iaitu KL Rovers berada di puncak liga dan Melaka FC berada di kedudukan keempat turut mempunyai jumlah mata yang sama iaitu 10 mata.