Kita akan perbaiki kelemahan dan tingkatkan prestasi menjelang aksi menentang PT Athletic FC – Mat Zan

32

Ketua jurulatih pasukan Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris memberitahu beliau sudah mengenal pasti kelemahan pasukan dan akan cuba memperbaiki serta tingkatkan prestasi pasukan menjelang perlawanan kelima Liga A1 menentang PT Athletic FC.

“Minggu hadapan kita tidak ada mempunyai perlawanan jadi kita akan gunakan sesi latihan untuk perbaiki kelemahan kerana kita sudah kenal pasti kelemahan kita berdasarkan perlawanan-perlawanan terdahulu.

Kalau kita tengok prestasi kami dari satu perlawanan ke satu perlawanan ada peningkatan dan itu yang kita mahukan.

Memang kita ada buat banyak kesilapan tapi kita akan perbetulkan dan pertingkatkan lagi prestasi pasukan,”

katanya.

Aksi menentang PT Athletic boleh disifatkan sebagai perlawanan yang mencabar buat juara bertahan kerana pasukan itu dibarisi oleh ramai bekas pemain kebangsaan dan Liga Super.


Biarpun baru menyertai saingan Liga A1 musim ini, namun mereka telah memperlihatkan kehebatan apabila berjaya mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Terdahulu pada aksi keempat, Imigresen yang terpaksa bermain dengan 10 pemain berjaya mengikat Bunga Raya Damansara FC 1-1 dalam aksi yang dicemari dengan insiden kad merah.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut Mat Zan tetap bersyukur apabila pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong.

“Alhamdulillah dapat satu mata walaupun kita bermain dengan 10 pemain. Kalau kita tengok persembahan separuh masa pertama sedikit tidak teratur dari segi ‘positioning’ dan gerakan.

Tapi pada separuh masa kedua kita lebih tersusun dan lebih disiplin lagi walaupun kita bermain dengan 10 orang kita boleh juga membuat serangan.”