Jangan terlalu hormat (PT Athletic FC), kita main macam biasa saja – Hafiz Kamal

44

Pemain Imigresen FC, Hafiz Kamal menuntut rakan sepasukannya untuk tidak terlalu menghormati pasukan lawan PT Athletic FC untuk perlawanan Liga A1 seterusnya.

Menurut Hafiz, walaupun sedar pasukan lawan dibarisi oleh ramai pemain berpengalaman yang merupakan bekas pemain kebangsaan dan Liga Super tapi mereka akan cuba bermain seperti biasa.


“Untuk perlawanan menentang PT Athletic kita akan berdepan dengan pasukan yang mempunyai ramai pemain berpengalaman.

Tapi kita jangan terlalu hormat sebaliknya kita bermain seperti biasa,”

katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan menentang Bunga Raya Damansara FC yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, Hafiz nyata berpuas hati dengan keputusan itu kerana mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain dek insiden kad merah.

“Bagi saya ia satu keputusan yang saya puas hati sebab bukan senang bermain dengan 10 pemain nak lawan dengan 11 pemain jadi saya berpuas hati dengan keputusan ini.

Tidak dapat dinafikan pada separuh masa Bunga Raya Damansara mengawal permainan tapi bila separuh masa kedua Imigresen sudah ubah taktikal yang mana kami kemudian dapat beri saingan sengit, cuma insiden kad merah menjejaskan sedikit taktikal kita.”

Sementara itu, walaupun sudah berusia 36 tahun namun Hafiz telah mempamerkan aksi yang cukup konsisten sepanjang perlawanan sekaligus mendapat pujian ramai.

“Rahsia kekal prestasi? Jaga disiplin dalam dan luar padang dan yang penting tidur kena cukup.”