Kita perlu lebih positif dan jangkaan untuk kelayakan Piala Asia B-17 perlu lebih realistik – Jorda Ribera
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-16, Javier Jorda Ribera memberitahu banyak perkara yang pasukannya pelajari daripada kejohanan Kejuaraan ASEAN B-16 baru-baru ini sebelum mereka akan kembali buat persiapan untuk kelayakan Piala Asia B-17.
“Banyak perkara yang perlu diperbaiki kerana ini adalah sekumpulan pemain baru tapi mereka berjaya ‘improve’ dari segi taktikal dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Sepanjang kejohanan kami bermain dengan baik terutamanya ketika bertahan. Bermain dengan pasukan seperti itu kita perlu menguasai permainan jadi saya rasa kita masih mempunyai perjalanan yang jauh untuk ‘improve’,”
katanya.
Pada saingan Kejuaraan ASEAN B-16 yang berlangsung di Indonesia baru-baru telah menyaksikan skuad Harimau Muda tersingkir awal selepas hanya berjaya mengutip satu kemenangan ketika menentang Timor-Leste dan dua kekalahan di tangan Australia dan Thailand.
Dalam pada itu, Jorda Ribera turut menyuarakan keyakinannya bahawa pasukannya mampu untuk layak ke Piala Asia B-17 2025.
Jorda Ribera yang positif bagaimanapun berkata semua pihak juga perlu meletak jangkaan yang lebih realistik.
“Saya sangat positif terhadap kemampuan pasukan ini, oleh itu kita perlu terus positif dengan pemain generasi baru ini dan jangkaan juga perlu realistik.”
Terdahulu, skuad negara untuk kelayakan Piala Asia B-17 yang akan berlangsung di Laos pada Oktober depan menyaksikan mereka telah diundi dalam Kumpulan H bersama Lubnan Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Laos.