Banyak pemain Liga Super main di Liga A1 dan rasa liga ini akan menjadi lebih menarik – R. Kogileswaran

29

Pemain pasukan Bunga Raya Damansara FC, R. Kogileswaran mengakui saingan liga semi-profesional Liga A1 akan menjadi lebih menarik lagi kerana untuk musim ini banyak bekas pemain kebangsaan dan Liga Super beraksi di liga itu.

“Liga A1 ini semakin hari semakin padat sebab kita tahu banyak pemain berpengalaman, pemain Liga Super sekarang main di Liga A1.

Jadi saya rasa liga ini akan menjadi lebih menarik lagi selepas ini kerana sekarang ini baru perlawanan keempat jadi saya yakin kesemua pasukan akan memberikan aksi yang lebih menarik lagi selepas ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Kogileswaran yang sebelum ini beraksi di Liga Super dan pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Harimau Malaya memberitahu bahawa beliau buat keputusan untuk bermain bersama kelab Bunga Raya Damansara di Liga A1 adalah untuk perancangan masa depannya.


“Saya datang ke Bunga Raya Damansara adalah untuk projek pasukan ini yang mana mereka juga mempunyai perancangan rapi sehingga ke peringkat akar umbi.

Tapi sasaran saya pula di Liga A1 ini adalah untuk kita menang perlawanan sebanyak yang boleh dan kalau boleh kita mahu layak ke Liga Super pada musim depan.”

Kogileswaran juga tidak menganggap kehadirannya dalam saingan Liga A1 adalah satu ‘downgrade’ buat dirinya.

Sementara itu, Bunga Raya Damansara kini berada pada prestasi terbaik apabila mereka kini menduduki di tangga kedua Liga A1 dengan 10 mata.