Sedar cabaran besar menanti tapi Imigresen FC akan tetap cuba pertahankan kejuaraan Liga A1

37

Memegang gelaran sebagai juara bertahan dalam saingan Liga A1 bukan mudah buat Imigresen FC kerana mereka sedar dengan cabaran yang lebih mencabar untuk musim 2024 berikutan kehadiran banyak pasukan yang lebih hebat.

Pengurus pasukan Imigresen, Mohd Iqmal Haqimie Abdullah berkata pasukan mereka akan terus memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan prestasi pasukan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.


“Kalau kita tengok EURO 2024 juara bertahan pun sudah tersingkir tapi seperti yang saya katakan kita tidak pernah mendahului takdir tuhan, insyaAllah kita bersedia.

Kita akan berusaha lagi dan akan gunakan tempoh rehat dua minggu untuk memperkuatkan lagi pasukan,”

katanya.

Biarpun saingan liga baru bermula dengan empat perlawanan namun Imigresen berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan apabila mereka berada di kedudukan ketiga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.

Kedudukan empat pasukan teratas liga iaitu KL Rovers, Bunga Raya Damansara FC, Melaka FC dan Imigresen mempunyai jumlah mata yang sama dan hanya dibezakan menerusi perbezaan jaringan.

Dalam pada itu, Iqmal Haqimie berkata beliau akan menyerahkan tugas untuk memantapkan skuad kepada Pengarah Teknikal iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan dan ketua jurulatih Mat Zan Mat Ariz untuk membuat percaturan dan perancangan rapi pasukan.

“Kita perlu mantapkan dari segi permainan konsisten sepanjang tempoh 90 minit untuk kita terus menang.”

Terdahulu pada aksi keempat saingan liga hujung minggu lalu Imigresen telah mempamerkan aksi yang mantap untuk mengikat pasukan Bunga Raya Damansara 1-1 biarpun terpaksa bermain dengan 10 pemain dek insiden kad merah.

Sementara itu, dua pemain Imigresen turut berada dalam senarai penjaring terbanyak iaitu Thankgod Michael dengan lima jaringan dan Muhamad Hazim Abu Zaid dengan tiga jaringan.