Saya rasa tekanan itu akan datang dari diri sendiri – Dhabitah Sabri
Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri teruja apabila beliau disenaraikan oleh Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas pihak Akuatik Dunia memberikan slot tambahan buat Malaysia.
Dhabitah yang akan bersaing dalam acara 3m papan anjal individu berkata beliau meningkatkan intensiti latihan.
“Persiapan saya berjalan seperti biasa sebelum ini tapi sekarang dah sah jadi saya tingkatkan intensiti latihan.
Saya rasa tekanan kini lebih kepada diri saya dan mungkin orang lain pun akan beri tekanan kepada saya memandangkan kita tiada orang lain lagi. Kita ada Rhodict tapi beliau masih junior jadi ‘feeling’ dia dengan saya sebagai senior berbeza.
Saya juga rasa tekanan itu lebih kepada diri saya. Saya sendiri yang akan beri tekanan dekat diri sendiri sebab saya yang set sasaran untuk diri saya,”
katanya.
Tambahnya lagi, setiap atlet mahu berikan yang terbaik oleh itu beliau perlu perbaiki kelemahan supaya dapat beri yang terbaik nanti.
Dalam pada itu, Dhabitah juga enggan meletak sebarang sasaran buat masa ini sebaliknya mahu fokus dari satu peringkat ke satu peringkat terlebih dahulu.
“Saya tak nak fikir terlalu jauh lagi kerana seperti yang saya cakap nanti diri sendiri yang tertekan jadi saya akan ‘take one step at the time’.”
Ini merupakan Olimpik ketiga Dhabitah selepas Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.