Ini adalah Piala FA, sentiasa ada peluang untuk tebus kembali kekalahan – Nidzam Jamil

105

Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil berkata pasukannya mengambil pendekatan yang positif kekalahan 2-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2024 kepada Kuching City FC baru-baru ini kerana mereka masih mempunyai peluang untuk tebus kekecewaan itu pada perlawanan kedua.

“Saya rasa semua pemain ambil pendekatan positif kerana ini adalah Piala FA, sentiasa ada peluang untuk tebus kembali kekalahan.

Apa yang baik adalah bila anda kalah, banyak perkara yang anda boleh ‘reflects’ seperti dari segi persiapan dan dari segi minda.

Banyak yang kita belajar dari perlawanan pertama di tempat lawan dan paling baik sekali adalah kita ada perlawanan di tempat sendiri dan akan cuba tebus kembali,”

katanya.

Tambah Nidzam lagi, setiap pemainnya memahami suasana dan situasi dalam saingan Piala FA yang mana banyak kejutan berlaku.


Dalam pada itu, Nidzam berkata pasukan Kuching City pastinya mahu sekali lagi kejutkan pasukannya seperti mereka lakukan kepada finalis musim lalu iaitu KL City FC, oleh itu ia kini bergantung kepada pemain sendiri samada mahu membiarkan perkara itu berlaku atau tidak.

“Kuching City sudah kejutkan finalis musim lalu KL City dan pastinya mereka mahu kejutkan kita tapi ia kini bergantung kepada kita samada nak membiarkan atau tidak ia berada dalam genggaman kita sebenarnya pada minggu ini.

Bermain di tempat sendiri, reaksi pemain ketika latihan dan kita juga sudah berjumpa dengan beberapa pemain untuk berbincang dan saya rasa semuanya berada dalam keadaan terkawal.”

Sementara itu, Nidzam juga tidak merasakan pemain penyerang import Gergasi Merah iaitu Alvin Fortes berasa terbeban dengan jangkaan daripada banyak pihak kerana pemain itu mempunyai pengalaman yang cukup luas beraksi di banyak liga.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan sentiasa memberi sokongan serta membuat percaturan untuk pemain itu memaksimumkan potensinya.

Perlawanan suku akhir kedua Piala FA di antara Selangor dan Kuching City akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).