Pemain muda sensasi Selangor FC, Muhammad ke FC Osaka

41

Pemain muda sensasi Selangor FC iaitu Muhammad Abu Khalil bakal berhijrah ke Jepun secara pinjaman ke kelab FC Osaka iaitu kelab yang beraksi di J3 League bermula Julai ini.

Berita gembira itu dikongsikan oleh pihak pengurusan Selangor menerusi satu kenyataan rasmi yang memaklumkan bahawa Muhammad akan bermain di kelab itu selepas menerima tawaran sebaik sahaja tamat menjalani sesi percubaan pada 24 Jun hingga 2 Julai lalu.


“Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara. Pertama kali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman.

“Saya lihat adalah peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa.”

Tambahnya lagi, Muhammad berkata beliau banyak belajar sepanjang sesi percubaan tempoh hari dan bersyukur apabila kelab itu percaya dengan kemampuannya.

Oleh itu beliau berjanji akan memberikan aksi terbaik untuk banggakan keluarga, kelab Selangor dan Malaysia.

Muhammad merupakan tonggak utama dalam pasukan Selangor II yang beraksi pada saingan Piala MFL musim lalu dan turut membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama dalam saingan Liga Super pada tahun yang sama.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Muhammad turut menyaksikan beliau telah dipanggil untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan B-23 untuk kejohanan Piala Asia B-23 di mana beliau turun dalam dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.

Untuk makluman, FC Osaka kini berada di kedudukan ketiga dalam saingan liga berkongsi mata dengan Azul Claro Numazu.