Chong Yee Fatt harap bola sepak tanah air akan kembali dibarisi pemain dari pelbagai kaum
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Chong Yee Fatt berharap lebih ramai pemain bola sepak dari pelbagai kaum akan muncul dan dapat Kembali membarisi skuad Harimau Malaya seperti satu ketika dahulu.
“Saya harap budak-budak dari pelbagai kaum dalam terus terlibat dalam sukan bola sepak. Kita tahu sukan bola sepak adalah sukan berpasukan dengan pemain terbaik akan bermain.
Tapi saya berharap skuad Harimau Malaya Kembali dibarisi oleh pemain dari pelbagai kaum,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Yee Fatt berkata demikian ketika ditemui pada Maritime Silk Road-Youth Soccer Elite Tournament yang berlangsung di JSA Arena, Shah Alam pada hujung minggu lalu.
Beliau turut gembira dan teruja melihat perkembangan bola sepak akar umbi yang dilihat semakin memperlihatkan perkembangan yang cukup positif.
“Sejujurnya saya sangat gembira melihat situasi seperti ini. Sudah lama saya tidak turun melihat kejohanan akar umbi seperti ini jadi saya sedikit terkejut melihat melihat bakat-bakat muda yang ‘enjoying themselves’.
Secara peribadi saya merasakan pemain-pemain muda ini mempunyai kualiti permainan yang bagus yang mana kita dapat lihat kualiti individu dan ada juga pasukan yang bekerja sebagai satu unit.”
Dalam pada itu, Yee Fatt berkata sekiranya kejohanan-kejohanan akar umbi diteruskan dari semasa ke semasa ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti bola sepak negara.
Tambahnya lagi, beliau juga berharap agar kejohanan seperti ini tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja sebaliknya perlu dianjurkan di seluruh negara.