Datuk Lim Teong Kim bantu kami tubuhkan akademi PCRC – Chan Kok Heng
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Chan Kok Heng gembira melihat perkembangan bola sepak akar umbi terutamanya membabitkan anak-anak Cina kini semakin berkembang dengan cukup positif.
Melihat kepada perkembangan tersebut, Kok Heng yang berada dalam kelab Perak Chinese Recreation Club (PCRC) telah menubuhkan Akademi PCRC dengan bantuan bekas rakan sepasukan yang juga merupakan ketua jurulatih Perak FC ketika itu iaitu Datuk Lim Teong Kim.
“Di kelab saya di PCRC setiap minggu kita ada latihan untuk pasukan B-14, B-12 dan B-10 setiap minggu yang mana ia melibatkan sebanyak 60 pemain. Walaupun ia baru ditubuhkan pada tahun lalu tapi sambutannya cukup positif.
Tahun lepas Teong Kim merupakan ketua jurulatih Perak FC, jadi beliau tolong kami untuk tubuhkan satu akademi. Kami PCRC memang sudah ada fasiliti (padang latihan) jadi ia mudah untuk kami tubuhkan akademi dan dengan kepakaran Teong Kim yang sebelum ini pernah mengemudi AMD (Akademi Mokhtar Dahari) kami berasa bertuah dapat tunjuk ajar daripada beliau,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kok Heng berkata demikian ketika ditemui pada kejohanan Maritime Silk Road-Youth Soccer Elite Tournament yang berlangsung di JSA Arena, Shah Alam pada hujung minggu lalu.
Dalam pada itu, beliau gembira dengan penganjuran kejohanan Maritime Silk Road-Youth Soccer Elite Tournament dan berharap lebih banyak kejohanan seperti ini dapat dianjurkan dari semasa ke semasa.
“Penganjuran kejohanan ini sangat bagus kerana sekarang ini tidak banyak platform untuk budak-budak terutamanya budak Cina untuk bermain dalam kejohanan ini sebab standard bola sepak Cina semakin kurang jadi kalau bermain ‘mix’ mereka tidak dapat beri saingan dan ini akan membuatkan mereka hilang minat.
Kita tengok pada kejohanan ini mereka cukup bersemangat kerana standard lebih kurang, jadi saya rasa kena ada platform untuk mereka supaya dapat beri mereka semangat untuk bermain dengan lebih baik.”
Sementara itu, beliau turut gembira melihat perkembangan semasa golongan ibu bapa Cina ketika ini yang semakin terbuka dan lebih menggalakkan anak mereka untuk melakukan aktiviti luar dan menjadikan sukan bola sepak menjadi pilihan.