Penang FC larang pemain & jurulatih buat sebarang kenyataan berhubung insiden pergaduhan dengan TFC II

4,853

Pihak pengurusan pasukan Penang FC telah mengeluarkan arahan kepada kesemua pemain dan barisan kejurulatihan dari membuat sebarang kenyataan berhubung insiden pergaduhan ketika pertemuan dengan Terengganu FC II (TFC II).

“Minta maaf kerana semua pemain dan barisan kejurulatihan tidak dibenarkan untuk buat apa-apa kenyataan berkenaan isu semalam. Maaf,”

ujar sumber dari pasukan Penang kepada Harimau Malaya.

Dalam insiden yang boleh disifatkan paling terburuk dalam sejarah bola sepak negara telah menyebabkan pemain Penang iaitu Adib Raop mengalami kecederaan patuh hidung akibat ditumbuk oleh Ridzuan Razali pada minit ke-45.


Aksi panas itu berlaku apabila TFC II meraikan kejayaan penjaga gol mereka menyelamatkan sepakan penalti daripada kapten Penang, Endrik Dos Santos.

Kedua-dua pemain terlibat telah dilayangkan kad merah dan perlawanan terpaksa dihentikan.

Insiden itu berlaku ketika pertemuan terakhir Piala Menteri Besar Terengganu yang mana TFC II telah dinobat sebagai juara berikutan pasukan Penang mengambil tindakan drastik dengan meninggalkan padang pada separuh masa kedua.

Susulan itu, TFC II telah diberikan kemenangan percuma sekaligus merangkul trofi kejuaraan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka akan membuat kenyataan dalam masa terdekat ini dengan jangkaan pemain dan pasukan akan dikenakan tegas.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Penang telah mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu dengan menyatakan mereka sudah mengarahkan Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih untuk menyediakan laporan penuh untuk diserahkan kepada FAM atau MFL untuk siasatan lanjut.