Stadium Shah Alam adalah tempat saya dilahirkan – Razman Roslan
Bekas pemain Selangor, Razman Roslan gembira dan sedih pada masa yang sama dengan perkembangan terbaru kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam (SSA) yang sudah pun bermula sejak awal bulan ini untuk membangunkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang lebih moden dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk sebuah hotel.
Menurut Razman, beliau memberitahu bahawa SSA adalah tempat lahirnya beliau sebagai pemain bola sepak di mana beliau ketika itu menyarung jersi pasukan Gergasi Merah pada tahun 2004.
“Pertamanya Stadium Shah Alam adalah tempat dimana lahirnya Razman Roslan sebagai pemain bola sepak.
Membesar dengan pasukan Selangor jadi sudah tentu ia menjadi satu memori yang cukup indah buat saya ketika bermain dan juga selepas bermain.
Sedikit sebanyak sedih tetapi saya rasa dengan apa yang berlaku sekarang ini iaitu nak membina stadium baru lebih baik daripada terbiar macam itu sahaja. Dengan keadaan sekarang pasukan Selangor FC meningkat dan penyokong pun memenuhi stadium, jadi ada baiknya diroboh dan digantikan dengan stadium baru,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Razman turut mengimbas penampilan pertamanya di SSA bersama skuad utama Selangor pada tahun 2004 yang mana beliau masuk pada separuh masa kedua sebagai pemain gantian.
“Saya dapat peluang bermain apabila pemain senior saya mengalami kecederaan di separuh masa pertama dan saya terus dimasukkan pada separuh masa kedua bermain di posisi pertahanan tengah.
Dari situlah bermula karier saya bersama skuad senior Selangor dan saya dapat bermain dalam kesebelasan utama untuk perlawanan seterusnya sehingga ke akhir musim.”
Sementara itu, Razman berkata biarpun stadium baru akan dibina tetapi beliau percaya aura penyokong akan terus kekal dan pastinya ramai yang tidak sabar menanti pembukaan KSSA.