Pihak pengurusan TFC II kesal dengan insiden pergaduhan berlaku dengan Penang FC

1,233

Pihak pengurusan Terengganu FC II kesal dengan insiden pergaduhan yang berlaku pada perlawanan terakhir Piala Menteri Besar Terengganu ketika menentang Penang FC semalam.

Susulan insiden itu, Penang mengambil keputusan drastik untuk tidak meneruskan permainan di separuh masa kedua menyebabkan pengadil terpaksa memberikan kemenangan percuma sekaligus TFC II dinobat sebagai juara.


Sumber foto: TFC Facebook

Dalam satu kenyataan rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC iaitu AB Rasid Bin Jusoh menerangkan kronologi insiden yang berlaku.

“Merujuk kepada maklumat pegawai yang bertugas serta video rakaman perlawanan, pergaduhan semalam bermula pada minit ke-45 + 3 setelah pemain Penang FC tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan keadaan ini membuatkan para pemain Terengganu FC II meraikan kegagalan tersebut dan salah seorang pemain Terengganu FC II berjersi nombor 23 meraikannya dihadapan pemain Penang FC berjersi nombor 14 tanpa sebarang sentuhan dilakukan.

Pasukan Terengganu FC II telah mendahului 1-0 sebelum insiden berlaku. Pemain Penang FC berjersi 14 tersebut bertindak balas dengan menumbuk bahagian belakang pemain Terengganu FC II berjersi 23. Keadaan ini mencetuskan kekecohan dan disusuli dengan pemain Penang FC berjersi nombor 9 melakukan terjahan ke atas bahagian belakang badan pemain Terengganu FC berjersi nombor 11.

Salah seorang pemain Terengganu FC II berjersi nombor 19 bertindak balas dengan turut melakukan terjahan ke atas pemain Penang FC berjersi nombor 9. Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan hampir kesemua pemain. Setelah hampir berjaya dileraikan, pemain Terengganu FC II yang dikejar 2 orang pemain Penang FC bertindak balas dengan mempertahankan diri secara spontan menumbuk muka pemain Penang FC berjersi nombor 28 dan keadaan tersebut menyebabkan berlaku pendarahan dibahagian hidung pemain tersebut.

Pihak pegawai keselamatan, pegawai pasukan serta pegawai perlawanan seterusnya berjaya mengawal kekecohan yang berlaku dan perlawanan separuh masa pertama ditamatkan dan kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan,”

ujar AB Rasid dalam kenyataan rasminya.
Sumber foto: TFC Facebook

Tambah AB Rasid lagi, selepas perbincangan dilakukan pihak pengadil, penilai pengadil, koordinator perlawanan dan wakil kedua-dua pegawai pasukan, kesemua pihak bersetuju untuk teruskan perlawanan separuh masa kedua.

Bagaimanapun Penang kemudian mengambil keputusan drastik untuk tidak meneruskan separuh masa kedua dan terus pulang ke hotel penginapan.

Susulan itu, pihak TFC mendoakan agar pemain yang terlibat iaitu Adib Raop tidak mengalami kecederaan yang serius serta mampu meneruskan karier dalam bola sepak.

Pihak pengurusan juga berharap agar insiden seperti itu tidak akan berlaku lagi dan semua menjadikan iktibar dan pengalaman untuk penganjuran masa akan datang.

Sementara itu, kedua-dua pasukan dan pemain dijangka bakal dikenakan hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).