Nak jumpa SRG kerana ‘gameplay’ mereka unik dan agresif – Sanford
Pemain pasukan e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Liquid Echo, Sanford menyuarakan hasratnya untuk bertemu dengan pasukan dari Malaysia iaitu Selangor Red Giants (SRG) di perlawanan akhir MSC Esports World Cup 2024 nanti.
Menurut Sanford, apa yang membuatkan beliau berkata demikian kerana cukup tertarik dengan permainan yang dipamerkan oleh SRG yang dikatakan cukup unik dan agresif.
“Sudah tentunya saya mahu bertemu dengan SRG kerana mereka kini merupakan antara salah satu pasukan terbaik ketika ini dan mereka semakin mendominasi.
Bagi saya ‘gameplay’ mereka sekarang ini cukup unik dan agresif,”
katanya.
Sanford berkata demikian selepas pasukannya berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Falcons Esports 3-0 pada aksi suku akhir.
Liquid Echo kini sedang menunggu pemenang untuk satu lagi suku akhir di antara Falcons AP. Bren dan See You Soon yang mana pemenang akan bertemu dengan mereka.
SRG juga sudah mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir selepas berjaya menewaskan Fire Flux Esports 3-2 dan kini akan menunggu pemenang untuk satu lagi aksi suku akhir melibatkan NIP Flash dan sebuah lagi pasukan dari Malaysia iaitu Homebois.
Dalam pada itu, Sanford turut mengakui kehadiran jurulatih dari Filipina banyak membantu pasukan Malaysia iaitu SRG dan Homebois meningkatkan prestasi permainan mereka.
“Bagi saya mereka (SRG & Homebois) sedang mengejar pasukan terbaik kerana mereka juga ada jurulatih import dari Filipina seperti Arcadia Innocent dan Kram yang sangat membantu pasukan dan mereka juga sudah dapat mengadaptasi pH Meta, oleh sebab itu mereka sangat bagus ketika ini.”