Persiapan berjalan dengan lancar, kami sudah bersedia untuk SUKMA 2024 – Putrayusrie

64

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Putrayusrie bin Hj Awang Redzuan memberitahu bahawa persiapan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak kini berjalan dengan lancar.

Menurut Putrayusrie yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak berkata kesemua venue akan siap sepenuhnya pada hujung bulan ini.


“Persiapan sekarang ini sedang berjalan dengan lancar yang mana kit amula buat persiapan venue sejak awal tahun ini dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 31 Julai ini dan kita harap kesemua fasiliti ini akan bersedia.

Bermula bulan Ogos kesemua peralatan dan kelengkapan akan mula masuk ke venue-venue yang mana kita kemudian akan buat ‘try run’,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Putrayusrie mengakui tempoh masa singkat tetapi beliau percaya dengan kerjasama pelbagai jawatankuasa yang dilantik di setiap bahagian semuanya akan berjalan dengan lancar.

Tambahnya lagi, bagi memudah dan melancarkan lagi temasya itu nanti setiap acara sukan akan berlangsung di venue tersendiri bagi memudahkan segala urusan penyelarasan.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pihak mereka sebagai pengajur turut akan menyediakan kemudahan pengangkutan dari tempat penginapan atlet ke venue.

“Untuk SUKMA kami selaku penganjur kita menyediakan pengangkutan daripada perkampungan sukan ke venue pertandingan.

Kita sudah melantik jawatankuasa khas yang akan menguruskan segala hal berkaitan pengakutan.”

Beliau bagaimanapun berkata sekiranya ada kontinjen negeri yang menginap di hotel pilihan mereka sendiri, pihak negeri itu perlu menguruskan sendiri segala urusan pengangkutan atlet mereka.

Oleh sebab itu, Putrayusrie menggalakkan kontinjen-kontinjen negeri untuk menginap di perkampungan yang telah disediakan.

Sementara itu, SUKMA Sarawak akan berlangsung bermula 17 hingga 24 Ogos 2024.